MEI 2023

Sarawak Rekodkan Pelaburan Berjumlah RM32 Bilion 2022, 5,000 Peluang Diwujudkan


KUCHING: Sarawak merekodkan pelaburan keseluruhan berjumlah RM32 bilion pada 2022.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak,  Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pelaburan itu mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan.

Beliau berkata, sektor primer telah menyumbang sebanyak RM22.3 bilion pada pelaburan itu.

"Diikuti sektor pembuatan pada RM5.2 bilion dan sektor perkhidmatan pada RM4.5 bilion," katanya menggulung perbahasan bagi kementerian beliau di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini.

Awang Tengah berkata, Sarawak telah meluluskan sebanyak RM9.6 bilion bagi 87 projek pelaburan berkaitan pembuatan bagi tempoh 2022 sehingga suku pertama 2023.

"Pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih 6,700 peluang pekerjaan," tambahnya.

Katanya, projek terbabit adalah sektor produk elektrik dan elektronik (RM6.29 bilion), produk logam asas (RM2.58 bilion), produk plastik (RM167 juta), perkhidmatan (RM110.4 juta), kimia dan produk kimia (RM106 juta).

Sumber dari : Jiwa Bakti